Isu dan kontroversi China_Press

Perletakan jawatan Tan Sri Musa

Penafian

Akhbar tersebut melaporkan Tan Sri Musa Hassan dijangka meletak jawatan secara rasmi pada 25 Mac 2010 di majlis sambutan ulangtahun ke-203 Hari Polis. Sumber-sumber berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hishammuddin telah menerima peletakan jawatan Musa. Jika tiada perubahan pada saat-saat akhir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dilaporkan akan menggantikan Musa sebagai ketua polis negara. Berikutan daripada itu, Tan Sri Musa menafikan laporan sebuah akhbar bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, lima bulan sebelum tamat tempoh kontrak perkhidmatannya. Ini juga dinafikan oleh Datuk Seri Hishammudin walaupun beliau mengakui akan berlaku rombakan peringkat tertinggi pasukan polis.[1]


Surat tunjuk sebab

Pada 13 Mac 2010, pihak pengurusan China Press menerima surat tunjuk sebab dari Kementerian Dalam Negeri berikutan penyiaran laporan berita eksklusif yang menyatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan telah mengemukakan surat peletakan jawatan.[2] Musa dilaporkan akan bersara sebelum Hari Polis pada 25 Mac 2010 dan tempat beliau akan diganti timbalannya Tan Sri Ismail Omar. Dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menerima surat itu.

Penjelasan hendaklah secara bertulis kepada KDN dalam tempoh tujuh hari mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).Pencetak, penerbit, penyunting dan penulis berita akan dikenakan tindakan jika terbukti bersalah.Mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pada 18 Mac 2010, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz menyatakan pengurusan China Press bersedia memohon maaf kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Oleh itu tiada tindakan dikenakan. Terserah kepada China Press untuk mengambil tindakan dalaman ke atas ketua editor kerana menjejaskan kredibiliti syarikat , KDN dan KPN. [3] [4]

Hishamuddin menegaskan media mestilah mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum sesuatu berita itu disiarkan dan harus bertanggungjawab atas apa yang dilaporkan. Kerajaan tidak pilih bulu dalam melaksanakan undang-undang media.[5]

Penggantungan Ketua Pengarang

Pada 19 Mac 2010, akhbar tersebut menggantung ketua pengarangnya, Teoh Yong Khoon selama dua minggu berikutan keputusannya menyiarkan laporan peletakan jawatan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara.[6]